Isnin, 17 Julai 2023

KASIH MAK


Lahirnya ke dunia, seorang bayi meraung dan menangis memecah kesunyian, saat di mana manusia sekililing menunggu ketibaan insan baru dalam kehidupan. Tangisan bayi comel itu membawa khabar gembira kepada sepasang suami isteri yang bergelar ibu dan bapa. Tangisan itu melakarkan senyuman yang berpanjangan. Penantian yang panjang selama 9 bulan 10 hari terasa sangat bermakna, pengorbanan ibu melahirkan anaknya suatu pengorbanan teragung yang tiada tolak banding.

 Namun sangat memilukan apabila pusat penjagaan orang-orang tua sentiasa penuh dan bertambah dengan kedatangan penghuni-penghuni baru setiap masa. Persoalannya, apakah anak-anak sekarang sudah buta dalam menilai dan menghargai? Sedangkan nilai kasih sayang seorang ibu tidak terhingga terhadap anak yang dilahirkan. Ibu yang mendidiknya bermula dengan belajar meniarap hinggalah anak itu pandai berlari-lari, malah tidak kurang yang sangat petah berkata-kata.

RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.”

Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan.

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan bagi setiap individu yang bergelar anak tanpa mengira samaada ibu bapanya itu beriman atau tidak. Dalam surah al-Isra', ayat 23 dan 24, Allah menerangkan kepada kita supaya sentiasa taat kepada mereka:-

 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

"Jika seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia"

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

"Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika kecil.


Melalui nas ini jelas menunjukkan, berbakti kepada ibu bapa bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia adalah suatu perintah yang wajib dilakukan. Sebagai anak, kita perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa agar sentiasa akrab meskipun sudah dewasa dan mempunyai rumah tangga sendiri. Perbuatan derhaka amatlah dilarang sama sekali dan mereka yang menderhaka akan mendapat dosa besar. Dalam satu hadis ada  menerangkan derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Menurut hadis nabi juga, orang yang derhaka pada ibu tidak mencium bau syurga. Dalam satu kisah, sahabat Nabi s.a.w bernama Alqamah, seorang yang taat dan rajin beribadat; mendirikan sembahyang, berpuasa dan bersedekah. Namun pada saat kematiannya Alqamah sangat menderita. Begitu sulit hendak menghadap Allah Taala. Mulutnya seperti terkunci untuk mengucapkan kalimah tauhid sungguhpun setelah ditalqin yakni diajarkan oleh para sahabat. Ini adalah kerana Alqamah lebih mengutamakan dan terlalu cintakan isterinya sehingga mengabaikan ibunya. 

Di akhir hayat Alqamah, ibunya tidak memaafkannya kerana masih berkecil hati dengan Alqamah. Melihat keadaannya yang nazak, Nabi memerintahkan sahabat untuk mengumpul kayu api sebanyaknya untuk membakar Alqamah, Maka pada saat itulah, cinta seorang ibu yang telah lama terkubur dalam hatinya mulai hidup dan bersemi lagi, akhirnya ibu Alqamah memaafkannya dan Alqamah dapat menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang.

 

Peristiwa terbabit wajar dijadikan iktibar kepada semua di antara kita. Janganlah kerana isteri hak ibu terabai dan disebabkan suatu perkara remeh, tergamak meninggikan suara terhadap ibu sendiri.

 Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Rujukan Ilmu.

Irama Untuk Ibu

 

Rabu, 29 Mac 2023

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN

 


KEWAJIPAN BERPUASA

Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )

"Wahai orang-orang beriman!! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa".

Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.

 KEUTAMAAN RAMADHAN

Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan pusa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

 ANTARA FADHILAT DAN KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN.

  1. Pintu langit dibuka
  2. Pintu-pintu syurga di buka

 FADHILAT YANG LAIN

  1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga
  2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT
  3. Orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak
  4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt
  5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga
  6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

 AMAL IBADAH DI BULAN RAMADHAN

Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:

  1. Solat sunat Tarawih
  2. Solat-solat sunat yang lain
  3. Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
  4. Memberikan hidangan berbuka puasa
  5. Banyakkan membaca tahlil
  6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
  7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
  8. Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.

Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa. Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.

Rujukan Ringkas

Ceramah Ringkat Puasa

Selasa, 14 Mac 2023

USAH SUBURKAN BUDAYA FITNAH YANG AKAN MENGUNDANG PERPECAHAN SESAMA UMAT ISLAM

 


Fitnah merupakan amalan keji lagi dibenci oleh semua manusia. Islam agama yang memandang berat terhadap budaya menabur fitnah dalam kalangan umatnya sehingga perbuatan fitnah dikira satu jenayah dalam undang-undang Islam serta diperuntukkan hukuman syariah ke atas pelaku fitnah ini. Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai satu bentuk ancaman daripada Allah SWT dan rasul-Nya tentang besarnya dosa menabur fitnah. Jika pembawa fitnah itu orang Islam, maka ketahuilah bahawa azab yang berat sedang menantinya sebaik sahaja jasad dan rohnya berpisah. Sementara akhirat pula dia akan dihumban dalam api neraka jika dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW mengecam keras kepada pengadu domba seperti hadis daripada Huzaifah RA bahawa baginda bersabda yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba” (HR Muslim).

Sementara itu Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hukum fitnah adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana perbuatan ini boleh menyebabkan musibah yang besar dalam masyarakat. Dengan kepesatan teknologi masa kini, begitu banyak fitnah-fitnah yang ditaburkan bagi memburukkan seseorang, apatah lagi sesebuah agama. Cuba kita lihat begitu banyak fitnah-fitnah terhadap agama Islam yang dimuatnaik oleh puak-puak pelampau dalam menggambarkan sesuatu yang tidak baik mengenai Islam. Apa yang menyedihkan, ada sebahagian umat Islam itu sendiri yang percaya tentang tohmahan-tohmahan tersebut. Bukankah Allah SWT telah menyatakan di dalam al – Quran supaya menyelidiki kebenaran sesuatu perkara yang disampaikan terlebih dahulu sebelum mempercayainya? Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (QS al – Hujurat: 6).

Jauhilah amalan dan budaya menabur fitnah, mengadu domba dan apa jua usaha yang boleh mewujudkan perpecahan masyarakat. Perbezaan pendapat dan ideologi antara kita bukanlah lesen untuk menghalalkan perbuatan memfitnah, bahkan Islam meletakkan syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwa tersebut wajib mendatangkan sumber yang jelas, saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu. Rasulullah SAW sudah mengingatkan kita dengan laknat Allah SWT melalui sabdanya yang bermaksud:

“Fitnah itu sedang tidur. Allah melaknat orang yang mengejutkannya”. (HR al – Rafi’e).

Ceramah ringkas

Rujukan Ringkas

Khamis, 29 September 2022

 





 

BILA HATI SUDAH HITAM....

 

Antara tanda-tanda pada diri bila telah diselubungi penyakit hati...

 

1. Gelisah walaupun tiada masalah.
2. Selalu berbangga dengan diri sendiri.

3. Angkuh serta sombong dengan pandang hina terhadap orang lain.

4. Tidak amanah dan mungkir janji.
5. Selalu mengintai keaiban orang dan sebarkannya.
6. Suka mengumpat dan membuka aib orang lain.
7. Gembira melihat orang lain susah dan rendah daripada dirinya.
8. Lidah yang tajam atau tidak menjaga hati orang.
9. Suka menyakiti hati orang dengan sindiran.
10. Berlagak alim semata-mata untuk dipuji orang.
11. Menyampaikan ilmu dengan riak.
12. Menganggap diri lebih hebat daripada orang lain.
13. Berpakaian elok untuk dipuji Serta menunjuk-nunjuk.
14. Derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.
15. Talam dua muka (manis di depan tapi jahat di belakang).
16. Suka menjatuhkan dan memijak orang dengan kuasa yang ada.
17. Solat yang tidak khusyuk.
18. Kagum terhadap diri sendiri. Merasa diri bagus serta cerdik.
19. Selalu mengeluh serta tidak redho dgn suratan takdir.
20. Cinta kepada duniawi dan materialistik.
21. Mudah bersangka buruk terhadap orang.
22. Membesar besarkan hal yang remeh temeh.
23. Suka bergosip dan menabur fitnah.
24. Menggunakan agama dan berdengki atas perkara duniawi.
25. Cinta dunia melebihi cintanya pada akhirat. Membesarkan dunia serta berangan-angan untuk dunia.
26. Pendendam.
27. Penting diri dalam semua hal.
28. Berpura-pura dan suka membodek.
29. Tamak haloba serta bakhil serta sangat berkira dengan orang lain.
30. Nafsu serta kehendak syahwat yang tidak terbendung.


Kesemua sifat di atas adalah sifat Mazmumah (terkeji). Mari bermuhasabah diri samada hati masih terhijab kepada Allah dengan sifat-sifat buruk di atas atau tidak, jika masih maka hendaklah membersihkannya dengan mengenal Allah, banyak mengingati Allah, berdamping dengan guru pembimbing dan sentiasa bersangka baik kepada Allah dan makhlukNya.

 

 

Tanda Hati Hitam Yang Kita

Tidak Perasan (Awas)

 

Ketahui tanda hati hitam. Kebaikan seringkali membuatkan hati seseorang manusia itu tenang, manakala hati yang penuh keburukan akan menjadikan seseorang itu gelisan dan tidak tenteram.

Pada awalnya, setiap hati manusia itu adalah putih dan bersih, namun setiap kali melakukan dosa akan tertinggal satu titik hitam dan kesan tersebut menjadi bertambah banyak apabila melakukan lebih banyak dosa yang yang lain. Dan jika tidak dibersihkan semula hati tersebut menjadi semakin hitam, keras serta tidak takut melakukan apa-apa dosa lagi.

Imam al-Ghazali  pernah menyatakan bahawa tanda hati sudah mula hitam,  apabila berbuat dosa, kita tak rasa bersalah, hilang kemanisan beribadah dan, hati yang tidak makan nasihat.

 Petanda Hati Sudah Menjadi Hitam

Terdapat banyak petanda apabila hati seseorang sudah menjadi hitam, antaranya;

1 Meninggalkan Solat Tanpa Rasa Salah

Solat, jika ditinggakan sekali sahaja, dosanya sudah sangat besar. Bahkan sedikit demi sedikit cahaya keimanan akan ditarik sehinggalah dia tidak berasa apa-apa salah lagi jika tidak bersolat. Apatah lagi jika tidak mendirikan solat banyak kali, sudah pasti semakin berganda dosa yang diterima.

 

2 Tidak Gelisah Saat Tidak Melakukan Ibadah

Hati yang mati adalah tidak merasa gelisah jika tidak melakukan apa-apa ibadah, bahkan tidak menyesal dengan kesalahan yang dilakukan.

 

3 Tetap Tenang Walaupun Melakukan Dosa

Hati yang hitam tetap akan tenang kerana dosa-dosanya telah menutup hati, dan dengan itu mereka tidak berasa apa-apa kesalahan lagi. Bahkan tetap berasa tenang tanpa gusar kerana sudah menjadi kebiasaan baginya.

 

4 Jauh Dari al-Quran

Hati yang telah hitam tidak akan tersentuh atau terpengaruh dengan ayat-ayat suci al-Quran, bahkan berpaling darinya. Berbeza dengan umat mukminin, hati mereka akan bergetar jika mendengar atau membaca ayat-ayat al-Quran.

Firman Allah;

“Maka kenapakah mereka tidak mahu memerhatikan al-Quran bahkan hati mereka sebenarnya telah terkunci.” 

(Muhammad : 24)

 

5 Tidak Ada Masa Memikirkan Perkara Agama

Hati yang hitam berasakan tidak perlu memikirkan soal agama dan masa yang ada dihabiskan untuk melakukan hal lain.

Firman Allah :

“Mereka itulah orang-orang yang hati mereka, telinga mereka dan mata mereka telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(an-Nahl : 108)

 

 

6 Berterusan Melakukan Maksiat

Hati yang hitam adalah sahabat baik dalam hal yang berunsur maksiat. Ini kerana tidak ada rasa takut dan bersalah dalam hati pemiliknya. Bahkan tidak terbuka hati untuk mempercayai azab dan

balasan atas perbuatan mereka.

 

7 Tidak Suka Mendengar Nasihat

Golongan yang memiliki hati yang hitam ini sangat tidak gemar mendengar nasihat atau kebaikan lain. Jika dengar pun, bagaikan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

 

8 Mudah Bersangka Buruk, Memfitnah dan Mengumpat

Dari hati yang hitam itu akan lahir ke mulut dengan kata-kata yang buruk, begitulah sebaliknya. Kata-kata itu adalah pernan penting menunjukkan hati seseorang. Fitnah, mengumpat, mengeji itu dengan perlahan-lahan akan terus mematikan hati seseorang.

 

9 Tidak Takut Peringatan Kematian dan Azab di Akhirat

Sebuah hati yang telah mati, tidak akan melihat apa-apa peringatan bahkan tidak memiliki sedikitpun  rasa takut serta kesal. Disebabkan itulah mereka berterusan melakukan dosa dan kesalahan.

 

10 Terlalu Cintakan Dunia

Hati yang hitam sangat cintakan dunia dan melakukan apa-apa sahaja untuk memiliki dunaiawi. Tidak takut dan ingat akan kematian dan tidak sedar dunia ini akan berakhir kelak.

 

11 Tidak Terpengaruh Hatinya Dengan Pelbagai Ujian, Musibah Dan Cubaan

Hati yang hitam sememangnya tidak pernah terpengaruh jika Allah  menurunkan ujian dan dugaannya. Baginya itu adalah satu musibah yang diikuti dengan cercaan dan tidak pernah mengambil iktibar daripadanya.

 

Allah SWT berfirman;

 

“Dan tidakkah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahwa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?”

 

12 Tidak Pernah Bersyukur Kepada Allah

Jauh sekali untuk bersyukur, tetapi lebih banyak mengeluh kesah dan merungut. Bahkan sentiasa berasa tidak cukup dengan pemberian yang Allah SWT kurniakan kepadanya.

 

13 Bermalas-malasan Dalam Mengerjakan Kebaikan

Selain dekat dengan  perbuatan dosa dan meremehkan kemaksiatan. Hati yang hitam tidak kenal atau tidak tahu membezakan sesuatu hal yang ma’ruf dan munkar. Bahkan tidak pernah mendekatkan diri dengan kebaikan dan kebajikan.

 

14 Membenci Orang Alim dan Para Ulama

Pemilik hati yang hitam tidak menyukai golongan yang baik yang bertentangan dengannya. Ini kerana mereka tidak menyukai perkara baik yang disampaikan seperti kata-kata atau perbuatan yang baik serta ajakana melakukan kebaikan yang sangat merimaskan baginya.

15 Berasa Tenang Dengan Kesusahan Orang Lain

Pendek kata hati yang hitam ini sudah tidak ada apa-apa perasan yang menjurus kepada simpata, kasihan serta empati terhadapa kesusahan orang lain. Perasaan hasad dengki, cemburu, khianat lebih menguasai dirinya, bahkan apa yang penting hanyalah kegembiraan dan kepuasan hatinya sendiri.

Cara Merawat Hati yang Hitam

 

Dalam menangani hati yang hitam ini, Allah sentiasa membuka pintu kepada hamba-Nya yang ingin pulang ke pangkal jalan. Dengan itu, hati yang hitam ini boleh dibersihkan dan dirawat dengan diri sendiri yang mahu pulang  kepada-Nya. Selain itu, terdapat beberapa cara yang sesuai untuk membersihkan hati, antaranya;

 

Membaca al-Quran dan memahami maknanya

 Kerap mendirikan solat malam

 Bergaul dengan golongan soleh

 Berzikir

 Mengamalkan puasa sunat

 JANGAN BIARKAN HATI TERUS MENJADI ROSAK

 Hati adalah segumpal darah yang sangat penting dalam jasad manusia, juga untuk jiwa dan rohani yang baik. Hanya kerana hati menentukan baik atau buruknya seseorang.

Seperti sabda Nabi SAW:

Ketahuilah, dalam tubuh manusia itu terdapat segumpal daging. Jika segumpal daging itu baik, seluruh tubuh akan baik. Jika daging itu rosak, seluruh tubuh juga akan rosak. Ingatlah, segumpal daging itu adalah sebuah hati.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Rujukan:

Bahagian Dakwah, JAKIM

Cermah: Bila Hati Telah Hitam - Ustaz DUKE

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Khamis, 19 Mei 2022

Al-Quran Asas Peradaban, Sumber Ilmu Memajukan Manusia

Al-Quran adalah puncak bagi segala mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Bagi menyelami keindahan dan keluasan ilmu al-Quran, maka ia perlu didekati dan dibaca dengan penuh ta'zim lagi tahrim (penghormatan).

Keagungan al-Quran disampaikan kepada Rasulullah SAW dalam bahasa Arab yang baharu dan dizahirkan dengan jelas, gaya bahasa menakjubkan sehingga tidak mungkin sama sekali dapat dikelirukan atau dicampur aduk dengan hasil khayalan manusia.

Oleh sebab itu, hanya dengan satu lafaz sahaja sudah memadai untuk mengingatkan manusia mengenai kebesaran dan keluasan sifat Rahmat Tuhan. Keagungan al-Quran dengan susunan bahasa luar biasa mendorong seorang Arab Badwi bersujud walaupun belum memeluk Islam kerana terlalu asyik dan terpegun mendengar kalimah dibacakan di hadapannya.

Ini berlaku selepas hamba Allah ini mendengar ayat ke-44 Surah al-Hijr bermaksud; "Oleh itu, secara berterus-terang sampaikan apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad)".

Sebaik saja dia bersujud, seseorang bertanya kepadanya; "Adakah engkau memeluk Islam? Lalu dia menjawab, 'Tidak', tetapi aku sujud kerana kagum dengan balaghah yang terdapat pada ayat itu".

Apa yang dimaksudkan sebagai balaghah di sini secara umumnya adalah menyangkut mengenai kehalusan, kesesuaian dan keunikan lafaz digunakan dalam menerangkan suatu perkara di samping kekuatan makna terkandung dalamnya.

Setiap susunan lafaz dan ayat dalam al-Quran ibarat jarum jam menghitung saat, minit dan jam, yakni setiap satunya menyempurnakan di antara satu sama lain.

Al-Quran adalah sumber dapat menyuburkan dan memperkayakan akal dan ia juga ibarat santapan bagi hati serta ubat dan penawar bagi jiwa. Ia sentiasa segar, manis dan tidak memuakkan sehinggakan apabila salah seorang pemimpin Quraisy mendengar al-Quran daripada Rasulullah SAW, orang itu berkata; "Sesungguhnya ia dipenuhi dengan kemanisan dan kesegaran. Apa yang diucapkan Muhammad itu sedikitpun tidak menyerupai segala puisi yang ada".

Bagaimanapun, pemahaman mengenai al-Quran tidak akan sempurna tanpa disusuli dengan mendalami ilmu mengenai sunnah dan sirah Rasulullah SAW, ilmu fiqh, kalam, tasauf, sejarah dan selok-belok bahasa Arab al-Quran.

Persoalannya bagaimana kita dapat memahami sifat dan perbuatan Tuhan seperti dinyatakan dalam al-Quran sedangkan kita tidak pernah dibiasakan dengan ilmu yang menjadi prasyarat kepada tercapainya makrifat kebesaran dan keagungan Tuhan.

Ia termasuk bagaimana kita beroleh petunjuk dan pedoman ke jalan lurus seperti terkandung dalam al-Quran dan terdorong untuk menuruti segala contoh teladan Rasulullah SAW seperti diperintahkan dalam al-Quran.

Semua persoalan ini akan dapat diselesaikan jika ilmu yang betul lagi lengkap mengenai ajaran al-Quran dijadikan dasar dalam kehidupan. Jika al-Quran tidak difahami, nescaya akan mengakibatkan seseorang itu berada dalam keraguan, kekeliruan dan ingkar mengamalkan ajaran al-Quran.

Ilmu dan hikmah terkandung dalam al-Quran boleh diibaratkan seperti makanan lazat dan enak dihidangkan dalam jamuan dinikmati orang yang mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi.

Atas kefahaman yang mendalam hakikat al-Quran dan keyakinan tinggi mengenai kebenarannya, ia menjadi dorongan utama kepada ulama dan ahli ilmu zaman kegemilangan tamadun Islam menuntut ilmu di dalam ak-Quran.

Inilah juga yang menjadi tonggak utama dalam pembinaan ilmu sains dalam Islam. Malangnya, tradisi diamanahkan kepada kita ini hilang sedikit demi sedikit.

Amat malang jika ada pemimpin Islam dalam pelbagai bidang penting kehidupan insan hanya berpuas hati menjadi peniru dan pengikut tradisi ilmu pengetahuan menafikan al-Quran sebagai sumber ilmu utama.

Hakikatnya, warisan penting bagi orang Islam adalah ilmu dan ahli ilmu yang lahir dalam rangka al-Quran. Apa juga falsafah dan tradisi ilmu menafikan al-Quran sebagai sumber utama rujukan sebenarnya hanya berpandukan kepada tekaan atau agakan akal semata-mata.

Perlu disedari, kehidupan orang Islam akan menjadi suram, hambar dan tidak bermaya jika pemikiran mereka tidak lagi disinari oleh nur al-Qur'an.

Tidak hairanlah jika kita lihat masyarakat Islam hilang maruah dan rasa malu lalu sehingga sanggup melakukan kemungkaran serta pembohongan secara terang-terangan selain ada yang mabuk mengejar pangkat dan kemewahan.

Allah SWT mengingatkan supaya manusia tidak menjual kebenaran dengan harga yang murah dan tidak menukar-ganti keyakinan dengan keraguan serta jangan sekali-kali mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan dari sisi Allah.

Namun sebahagian orang Islam menjadi 'pekak dan tuli' terhadap suruhan serta amaran ini. Bagi yang sedar dan benar-benar mahu memperakui dan menegakkan kebenaran al-Quran, mereka perlu bersabar tanpa memadamkan cita-cita untuk mengikut ajaran al-Quran.

Di samping itu, kita perlu menyediakan asas ilmiah kukuh berasaskan al-Quran kepada semua pembina peradaban. Pada masa sama, usaha perlu dirancang dengan kemas dan betul bagi melahirkan semula ahli fikir dan ilmu yang jujur serta ikhlas dalam memperkembangkan kebenaran al-Quran.

 sumber:Berita Harian

Ceramah Ringkas:Tuan Guru Nik Aziz: Kebesaran Al Quran

Isnin, 21 Februari 2022

HIDAYAH ITU MILIK ALLAH

Hidayah Itu Milik Allah - Hargai dan Bersyukur


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari pembalasan.

Sesungguhnya Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada manusia melalui pelbagai cara. Dengan itu setiap insan perlu berusaha untuk mendapatkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT melalui cara-cara yang telah ditentukan-Nya. Allah SWT mengutuskan para Nabi dan Rasul, serta diturunkan bersama mereka beberapa kitab suci. Selepas zaman kenabian, Allah SWT mengiktiraf pula para ulama sebagai pewaris nabi yang bertindak mengajak umat manusia kepada keredhaan Allah SWT. Semua itu merupakan bukti yang jelas atas adanya ketersediaan pelbagai cara dan saluran bagi manusia untuk memperolehi hidayah daripada Allah SWT.

Perlu difahami, walaupun Allah SWT telah menyediakan pelbagai cara untuk menyampaikan petunjuk dan hidayah kepada umat manusia, akan tetapi Allah SWT tidak pernah memaksa mereka untuk menerima saranan itu dan tidak pula pernah memaksa mereka untuk beriman kepada-Nya. Sehinggakan ada seseorang yang dibesarkan di rumah seorang Nabi, akan tetapi dia tidak dapat menerima petunjuk daripada Nabi tersebut, bahkan cenderung menentangnya. Sebaliknya, ada pula seseorang yang dibesarkan di dalam lingkup istana Firaun, akan tetapi dia beriman dan membesar sebagai seorang muslim di kalangan keluarga Firaun dan isterinya.

Petunjuk seperti ini berkait rapat dengan kesanggupan seseorang itu untuk menerima perintah dan hidayah daripada Allah SWT. Allah SWT hanya menyediakan pelbagai cara dan saranan untuk manusia menerima hidayah dan perintah daripada-Nya. Namun begitu penerimaan tersebut amat bergantung kepada kehendak individu itu sendiri. Walaupun keadaan penerimaannya itu cukup misteri, akan tetapi untuk menerima petunjuk dan hidayah itu mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri yang telah ditetapkan Allah SWT.

Al-Quran telah menyatakan, bahawa untuk menerima petunjuk dan hidayah ada beberapa syarat yang perlu dilakukan. Kenyataan ini sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah SWT;

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيۡنَٰهُمۡ فَٱسۡتَحَبُّواْ ٱلۡعَمَىٰ عَلَى ٱلۡهُدَىٰ فَأَخَذَتۡهُمۡ صَٰعِقَةُ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡهُونِ بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ 

Maksudnya“Dan adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepada mereka, lalu mereka mengutamakan kesesatan daripada hidayah dan petunjuk; maka mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.”

(Surah Fushshilat: 17)

Dengan erti kata lain, Allah SWT telah menyediakan salah satu cara untuk memberi petunjuk kepada kaum Tsamud dengan diutuskan Nabi Ṣāliḥ as. kepada mereka. Namun sebaliknya mereka lebih mengutamakan kesesatan daripada menerima petunjuk (hidayah), sehingga mereka diseksa dan berakhir di api neraka.

Allah SWT juga telah berfirman,

رُّسُلٗا مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةُۢ بَعۡدَ ٱلرُّسُلِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمٗا 

Maksudnya“Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Al-Nisā’: 165).

 

Walaupun Allah SWT telah mengutuskan sejumlah Rasul kepada sekelompok manusia, namun tidak semuanya dapat menerima petunjuk Allah tersebut. Mereka lebih banyak menolak dengan pelbagai alasan yang diberikan daripada menerima ajakan dan seruan para Rasul untuk beriman.

Di samping itu, Allah SWT juga telah berfirman;

إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ بِٱلۡحَقِّ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗاۚ وَإِن مِّنۡ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٞ 

Maksudnya“Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”

 (Surah Fāthir: 24).

 

Di samping Allah SWT mengutus para Rasul dan Nabi untuk menerangkan bagi sekelompok manusia, Allah juga mentakdirkan di antara mereka ada yang mahu menerima seruan para Rasul itu dengan berlapang dada, bahkan terdapat juga di kalangan mereka yang menolaknya. Mereka yang menolak itu lebih memilih kesesatan daripada petunjuk.

Allah SWT juga telah berfirman;

مَّنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهۡتَدِي لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا 

Maksudnya“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah Al-Isrā’: 15).

Allah SWT sengaja mengutus sebilangan para Nabi dan Rasul kepada sekelompok manusia, agar mereka menerima petunjuk daripada Allah. Ketentuan Allah SWT ini adalah sebagai hujah supaya mereka tidak beralasan, mengapa tidak diutus sebilangan Nabi dan Rasul kepada mereka, sehingga menyebabkan mereka lebih memilih jalan kesesatan. Kini, giliran kita yang telah diutuskan seorang Nabi dan Rasul yang bernama Muhammad SAW. Dengan pengutusan tersebut, tiada lagi alasan yang boleh diberikan untuk menolak petunjuk daripada Allah SWT. Hal yang demikian disebabkan, kita semua telah mendengar seruan Nabi SAW melalui al-Quran dan al-Sunnah yang beliau ditinggalkan.

Malahan Allah SWT juga telah menentukan para alim ulama yang menjadi penerus kepada tugasan para nabi dan rasul untuk memelihara dan memperbaiki keadaan agama Islam serta umatnya. Semua itu dilaksanakan oleh Allah SWT agar umat manusia mahu menerima petunjuk. Bahkan kesemuanya itu adalah merupakan kemurahan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Namun begitu, mahu ataupun tidak seseorang hamba itu untuk menerima petunjuk daripada Allah SWT, sangat tergantung kepada kemahuannya sendiri.

Allah SWT mentakdirkan petunjuk dan kesesatan secara bersamaan. Allah SWT mengutus Nabi SAW di tengah-tengah kaum Quraisy, dan beliau menyampaikan agama Islam kepada mereka. Di antara mereka ada yang menerima secara langsung dan segera mentaati aturan yang disampaikan, seperti yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq ra., kerana di lubuk sanubari Abu Bakar telah diberi cahaya keimanan oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, terdapat juga yang menolak tuntunan daripada Rasulullah SAW dengan keras, seperti Abu Jahal. Dia lebih memilih kesesatan daripada menerima ajakan Rasulullah SAW kepada Islam. Tentunya semua itu terjadi kerana telah ditakdirkan oleh Allah SWT bagi diri Abu Jahal sebagai seorang kafir yang menentang Islam sehingga dia mati dalam keadaan kafir di medan peperangan Badar. (Lihat: Imam Ibnu Katsir, Al-Bidāyah wa al-Nihāyah, Jld. 3, Hlm. 287)

Al-Quran memperjelaskan tentang adanya petunjuk dan seruan kepada rahmat Allah SWT. Terdapat  satu ayat, seperti telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَٱللَّهُ يَدۡعُوٓاْ إِلَىٰ دَارِ ٱلسَّلَٰمِ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ 

Maksudnya“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).”

(Surah Yunus: 25).

Walaupun Allah SWT mengajak manusia ke jalan petunjuk, akan tetapi menerima atau tidaknya petunjuk itu sangat bergantung kepada kemahuan manusia; sesuai dengan kehendak-Nya. Sebab, Allah SWT akan memberi petunjuk atau kesesatan bagi siapa pun yang dikehendaki-Nya. Bagaimana pun cara yang dapat mengajak manusia ke arah jalan petunjuk, pasti Allah SWT akan anugerahkannya kepada manusia. Akan tetapi, ketentuannya sangat bergantung kepada takdir dan kehendak Allah SWT jua.

Kitab al-Quran adalah sumber petunjuk terbesar. Namun begitu, tidak semua orang mahu menerimanya, walaupun telah disebutkan bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Sebagaimana telah disebutkan di dalam firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ 

Maksudnya“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;”

(Surah al-Baqarah: 2).

Daripada firman Allah SWT di atas dapat difahami, bahawa untuk menerima petunjuk daripada al-Quran hendaklah terlebih dahulu menjadi orang-orang yang bertakwa. Dari segi takdir, setiap insan hendaklah berusaha menjadi orang-orang yang bertakwa. Hal ini jelas seperti yang telah disebutkan di dalam firman Allah SWT berikut ini;

أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ 

Maksudnya“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Surah al-Baqarah: 5).

Orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, menunaikan semua kewajipan agama seperti puasa, zakat, dan beriman kepada kitab Allah yang diturunkan kepada para Nabi. Malah mereka beriman pula kepada alam akhirat, maka orang-orang seperti itulah yang disebut sebagai orang-orang yang bertakwa. Golongan yang sengaja diberikan petunjuk oleh Allah SWT sesuai dengan takdir-Nya yang telah tercatat di dalam kitab di Lauh al-Mahfuz.

Demikian lagi firman Allah SWT;

وَكَذَٰلِكَ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ رُوحٗا مِّنۡ أَمۡرِنَاۚ مَا كُنتَ تَدۡرِي مَا ٱلۡكِتَٰبُ وَلَا ٱلۡإِيمَٰنُ وَلَٰكِن جَعَلۡنَٰهُ نُورٗا نَّهۡدِي بِهِۦ مَن نَّشَآءُ مِنۡ عِبَادِنَاۚ وَإِنَّكَ لَتَهۡدِيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ  ٥٢ صِرَٰطِ ٱللَّهِ ٱلَّذِي لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ أَلَآ إِلَى ٱللَّهِ تَصِيرُ ٱلۡأُمُورُ  ٥٣

Maksudnya“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus, Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.”

(Surah al-Syurā: 52-53).

Penjelasan daripada firman Allah SWT di atas dapat difahami, bahawa petunjuk terbahagi kepada dua;

Pertama; berupa perantara yang dapat menyampaikan sesuatu seperti adanya kitab-kitab suci dan adanya para Nabi serta Rasul.

Kedua; ada yang berupa petunjuk yang telah diciptakan oleh Allah SWT di qalbu (sanubari) manusia.

Terdapat petunjuk yang disematkan ke dalam sanubari manusia melalui perantara, dan ada pula yang disematkan tanpa melalui perantara. Dengan erti kata lain, ia dimasukkan secara langsung oleh Allah SWT ke lubuk sanubari seseorang atas kehendak-Nya. Iaitu, petunjuk secara langsung yang disebutkan sebagai anugerah rahmat Allah SWT kepada seseorang hamba.

Di samping itu, terdapat pula petunjuk dan kesesatan yang Allah SWT diberikan secara bersamaan. Seperti telah disebutkan melalui sebuah hadis berikut ini, “’Umar Ibnul Khattab menyebutkan, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, ‘Aku diutus sebagai seorang da’i (penyeru) dan muballigh (penyampai), akan tetapi masalah petunjuk bukan berada di tanganku sedikit pun. Demikian pula Allah menjadikan iblis sebagai perayu, akan tetapi masalah kesesatan bukan berada di tangannya sedikit pun.” (Imam al-‘Uqaili meletakkan riwayat ini dalam al-Dhu’afâ’, Jilid 2, hadis nombor 8. Lihat pula penjelasannya dalam Mîzân al-I’tidâl, karya Imam al-Dzahabi, Jilid 2, Hlm. 416. Juga dalam kitab Kanzu al-Ummâl, karya Imam al-Muttaqi, Jilid 1, Hlm. 546.)

Lazimnya manusia menghendaki sesuatu, dan Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu yang dikehendaki oleh manusia itu. Walaupun Allah SWT telah mentakdirkan dalam perjalanan kehidupan manusia untuk mendapatkan pahala itu sangat terbatas, ditambah pula dengan dorongan nafsu yang fitrah suka melakukan segala bentuk dosa dan keburukan. Maka ia merupakan suatu cabaran yang utama kepada umat manusia untuk mencari petunjuk kepada kebaikan. Natijahnya, setiap manusia perlu gigih berusaha untuk mendapat petunjuk (hidayah) yang baik dari sisi Allah SWT, supaya dapat melakukan sesuatu yang baik pula di dalam kehidupan ini. Jika ditinjau dari sudut ini, maka setiap manusia wajib selalu berharap untuk dikurniakan petunjuk daripada Allah SWT agar dapat melakukan segala perbuatan yang baik sesuai dengan apa yang diredhai-Nya. Fahamilah, hidayah itu milik Allah SWT.

:- sumber: mohamadzakihalim.com dan 
Ceramah Ringkas
ekemusykilan.penang.gov.my