Fitnah merupakan amalan keji lagi dibenci
oleh semua manusia. Islam agama yang memandang berat terhadap budaya menabur
fitnah dalam kalangan umatnya sehingga perbuatan fitnah dikira satu jenayah
dalam undang-undang Islam serta diperuntukkan hukuman syariah ke atas pelaku
fitnah ini. Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah
SAW sebagai satu bentuk ancaman daripada Allah SWT dan rasul-Nya tentang
besarnya dosa menabur fitnah. Jika pembawa fitnah itu orang Islam, maka
ketahuilah bahawa azab yang berat sedang menantinya sebaik sahaja jasad dan
rohnya berpisah. Sementara akhirat pula dia akan dihumban dalam api neraka jika
dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.
Rasulullah
SAW mengecam keras kepada pengadu domba seperti hadis daripada Huzaifah RA
bahawa baginda bersabda yang bermaksud:
“Tidak
masuk syurga orang yang mengadu domba” (HR Muslim).
Sementara
itu Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hukum fitnah
adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana perbuatan ini boleh
menyebabkan musibah yang besar dalam masyarakat. Dengan kepesatan teknologi
masa kini, begitu banyak fitnah-fitnah yang ditaburkan bagi memburukkan
seseorang, apatah lagi sesebuah agama. Cuba kita lihat begitu banyak
fitnah-fitnah terhadap agama Islam yang dimuatnaik oleh puak-puak pelampau
dalam menggambarkan sesuatu yang tidak baik mengenai Islam. Apa yang
menyedihkan, ada sebahagian umat Islam itu sendiri yang percaya tentang
tohmahan-tohmahan tersebut. Bukankah Allah SWT telah menyatakan di dalam al –
Quran supaya menyelidiki kebenaran sesuatu perkara yang disampaikan terlebih
dahulu sebelum mempercayainya? Firman Allah SWT:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa
suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu
kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu
itu.” (QS al – Hujurat: 6).
Jauhilah
amalan dan budaya menabur fitnah, mengadu domba dan apa jua usaha yang boleh
mewujudkan perpecahan masyarakat. Perbezaan pendapat dan ideologi antara kita
bukanlah lesen untuk menghalalkan perbuatan memfitnah, bahkan Islam meletakkan
syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang
yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak
yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwa tersebut wajib
mendatangkan sumber yang jelas, saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai
memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu. Rasulullah SAW sudah
mengingatkan kita dengan laknat Allah SWT melalui sabdanya yang bermaksud:
“Fitnah
itu sedang tidur. Allah melaknat orang yang mengejutkannya”. (HR al – Rafi’e).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan