Lahirnya
ke dunia, seorang bayi meraung dan menangis memecah kesunyian, saat di mana
manusia sekililing menunggu ketibaan insan baru dalam kehidupan. Tangisan bayi
comel itu membawa khabar gembira kepada sepasang suami isteri yang bergelar ibu
dan bapa. Tangisan itu melakarkan senyuman yang berpanjangan. Penantian yang
panjang selama 9 bulan 10 hari terasa sangat bermakna, pengorbanan ibu
melahirkan anaknya suatu pengorbanan teragung yang tiada tolak banding.
Namun sangat memilukan apabila pusat penjagaan orang-orang tua sentiasa penuh dan bertambah dengan kedatangan penghuni-penghuni baru setiap masa. Persoalannya, apakah anak-anak sekarang sudah buta dalam menilai dan menghargai? Sedangkan nilai kasih sayang seorang ibu tidak terhingga terhadap anak yang dilahirkan. Ibu yang mendidiknya bermula dengan belajar meniarap hinggalah anak itu pandai berlari-lari, malah tidak kurang yang sangat petah berkata-kata.
RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.”
Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan.
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan bagi setiap individu yang bergelar anak tanpa mengira samaada ibu bapanya itu beriman atau tidak. Dalam surah al-Isra', ayat 23 dan 24, Allah menerangkan kepada kita supaya sentiasa taat kepada mereka:-
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
"Jika
seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan
'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia"
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku!
Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika
kecil.
Melalui nas ini jelas menunjukkan,
berbakti kepada ibu bapa bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia
adalah suatu perintah yang wajib dilakukan. Sebagai anak, kita perlu menjaga
hubungan dengan ibu bapa agar sentiasa akrab meskipun sudah dewasa dan
mempunyai rumah tangga sendiri. Perbuatan derhaka amatlah dilarang sama sekali
dan mereka yang menderhaka akan mendapat dosa besar. Dalam satu hadis ada
menerangkan derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik,
Nabi s.a.w pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang
bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh
dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)
Menurut hadis nabi juga, orang yang
derhaka pada ibu tidak mencium bau syurga. Dalam satu kisah, sahabat Nabi s.a.w
bernama Alqamah, seorang yang taat dan rajin beribadat; mendirikan
sembahyang, berpuasa dan bersedekah. Namun pada saat kematiannya Alqamah sangat
menderita. Begitu sulit hendak menghadap Allah Taala. Mulutnya seperti terkunci
untuk mengucapkan kalimah tauhid sungguhpun setelah ditalqin yakni diajarkan
oleh para sahabat. Ini adalah kerana Alqamah lebih mengutamakan dan
terlalu cintakan isterinya sehingga mengabaikan ibunya.
Di
akhir hayat Alqamah, ibunya tidak memaafkannya kerana masih berkecil hati
dengan Alqamah. Melihat keadaannya yang nazak, Nabi memerintahkan sahabat
untuk mengumpul kayu api sebanyaknya untuk membakar Alqamah, Maka pada
saat itulah, cinta seorang ibu yang telah lama terkubur dalam hatinya mulai
hidup dan bersemi lagi, akhirnya ibu Alqamah memaafkannya dan Alqamah
dapat menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang.
Peristiwa
terbabit wajar dijadikan iktibar kepada semua di antara kita. Janganlah kerana
isteri hak ibu terabai dan disebabkan suatu perkara remeh, tergamak meninggikan
suara terhadap ibu sendiri.
Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)