Jumaat, 24 Jun 2016

Tanda-Tanda Malam Lailatul Qadar


Di bulan Ramadhan terdapat satu malam yang istimewa yang dipanggil malam Lailatul Qadar di mana disebutkan dalam Al-Quran sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan (Al-Qadr : 2). Sebagai manusia biasa, sesungguhnya tiada yang mengetahui bilakah akan terjadi malam Lailatul Qadar itu melainkan Allah SWT, namun para ilmuan dan ulama ada memberikan beberapa tanda – tanda berlakunya malam Lailatul Qadar yang pastinya ditunggu oleh Umat Islam di seluruh dunia.
Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya.
Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam juga berkongsi mengenai tanda-tanda Lailatul Qadar, Tanda-tanda Lailatul Qadar ada tanda dalaman pada diri dan juga tanda luaran.
Tanda dalaman
1)            Hati akan merasa sangat hiba pada malam tersebut.
2)           Air mata mudah mengalir deras lebih daripada biasa
3)           Jantung berdebar lebih daripada biasa
4)           Badan menggeletar lebih daripasa biasa
Tanda luaran
1)            Jika musim tersebut musim dingin, malam tersebut tidak terlalu dingin
2)           Jika malam tersebut angin bertiup, maka angin yang bertiup tidak terlalu kencang
3)          Jika malam tersebut hujan, hujan turun tidak terlalu lebat
4)          Tidak kedengaran bunyi anjing menyalak pada malam tersebut
Tanda selepas (keesokan hari nya)
Pagi hari matahari akan terbit muram sedikit, tidak secerah biasa, cahayanya seperti keadaan malam sedikit
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.
Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Masa Berlakunya Malam Lailatul Qadar
Pendapat kuat mengatakan bahawa malam Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW.
Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain” ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil. Seperti dalam hadis berikut.
“Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?.  Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya.

Wallahu a’lam.

Jumaat, 3 Jun 2016

KELEBIHAN SEMBAHYANG TARAWIH

Maksudnya: “Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Muslim)
Setiap tahun, kita umat Islam berpuasa di bulan Ramadan yang mulia dan selama itulah juga kita dapati di mana-mana saja dalam kelompok masyarakat Islam di Malaysia memeriahkan malam-malam di bulan yang mulia ini dengan ibadat sembahyang sunat tarawih, sunat witir, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan.
Oleh itu supaya kita sama-sama dapat menghidup dan memeriahkan malam-malam yang mulia bagi tahun ini, dengan tujuan mencapai keredhaan Allah dan kelebihan beribadat di malam “Lailatul Qadr” seperti yang jelas dari firman Allah S.W.T. pada ayat 3, surah al-Qadr yang bermaksud:
“Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan yang lain”
dan sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. di dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu”,
maka eloklah kita mengetahui atau mengulangi kembali cara-cara sembahyang sunat tarawih dan witir

supaya kedatangan Ramadan tahun ini lebih berguna dan bermanfaat untuk kita.
Hukum Sembahyang Sunat Tarawih
a) Hukumnya sunat Muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
b) Sunat dikerjakan di Masjid, Surau dan lain-lain tempat sembahyang orang- orang Islam.
Waktu Sembahyang Sunat Tarawih
Ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Isyak dan sunat ba’diah dua rakaat.
Rakaat Sembahyang Sunat Tarawih
i. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunai-kan sekadar 8 rakaat sahaja.
ii. Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembah-yang tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Walau bagai-manapun terdapat juga hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengerjakan sebanyak 20 rakaat.
iii. Pada zaman Khalifah Omar bin al-Khattab r.a. pula beliau melaksanakannya sebanyak 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
iv. Sembahyang sunat Tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

v. Lafaz Niat Sembahyang Sunat Tarawih:
(Sahaja aku sembahyang sunat tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.)
Rukun Sembahyang Sunat Tarawih
Rukun sembahyang sunat tarawih ini samalah dengan rukun sembahyang yang lain juga.
Kaifat/Cara Sembahyang Sunat Tarawih 20 Rakaat:
i) Bacaan Surah Selepas membaca surah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat sembahyang sunat tarawih ini, dibaca pula surah-surah yang tertentu:
Dari malam 1 hingga 15 Ramadan:
a) Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca satu surah yang bermula dari surah at-Takasur
Dari malam 16 hingga akhir Ramadan:
a) Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Qadr.
b) Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadan iaitu bermula dari surah al-Takatsur hingga kepada surah al-Lahab.
Peringatan
Lafaz niat yang digunakan dalam risalah ini untuk makmum sahaja. Oleh itu perkataan “Makmuman” itu tukarlah kepada “Imaman” jika menjadi imam atau buang langsung jika sembahyang seorang diri.


Panduan Sembahyang Tarawih (untuk muat turun)