Selasa, 10 November 2020

Definisi wasiat dalam perspektif Islam Dan Kesan melengahkan penyediaan wasiat & mati tanpa berwasiat.

 



Definisi wasiat dalam perspektif Islam

RAMAI dalam kalangan kita menganggap wasiat adalah sesuatu yang tidak penting. Ini kerana rata-ratanya berpandangan pembahagian harta pusaka adalah terhad untuk waris-waris dan dibahagi melalui kaedah faraid sahaja.

Perlu difahami, para fuqaha telah bersepakat bahawa wasiat kepada ibu bapa dan kaum kerabat adalah wajib bagi orang yang mempunyai harta. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 180)

Wasiat sebenarnya adalah ikrar atau pengakuan seseorang untuk menyempurnakan pengagihan harta selepas kematian kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka.

Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah sebanyak satu pertiga daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan. Manakala, dua pertiga daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris untuk dibahagikan secara faraid.

Walaupun hukum berwasiat merupakan satu perbuatan sunat yang digalakkan, namun hukum berwasiat juga boleh berubah mengikut situasi seperti berikut:

Wajib

Wasiat menjadi wajib apabila seseorang mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan terutama yang berbentuk ‘hak ALLAH’ seperti zakat, kafarah dan haji yang dibimbangi tidak dapat ditunaikan sekiranya tidak diwasiatkan kepada seseorang untuk melaksanakannya. Begitu juga tanggungjawab berkaitan hak manusia seperti mempunyai harta yang diamanahkan kepadanya dan hutang yang belum diselesaikan.

Haram

Wasiat menjadi haram apabila seseorang mewasiatkan sesuatu perkara yang diharamkan oleh syarak atau bertujuan untuk memudaratkan ahli  waris.

Harus

Wasiat menjadi harus jika dibuat kepada orang kaya sama ada daripada kaum kerabat atau mana-mana pihak dengan tidak mempunyai tujuan tertentu. Jika wasiat itu bertujuan untuk melakukan kebajikan dan menghubungkan tali silaturahim, maka ia menjadi sunat.

Makruh

Wasiat menjadi makruh jika pewasiat mempunyai harta yang sedikit namun pada masa yang sama mempunyai waris yang miskin yang sangat memerlukan harta. Demikian juga adalah tidak wajar memberikan wasiat kepada orang fasik atau orang yang sering melakukan maksiat

kerana dibimbangi pemberian wasiat itu akan meningkatkan lagi kecenderungannya untuk melakukan maksiat.

 

Kerana harta dunia, manusia boleh jadi kurang waras, gelap mata dan bermasam muka sesama sendiri. Ada yang sanggup putus saudara. Ya, hanya kerana harta. Oleh sebab itu pentingnya meninggalkan wasiat selagi hayat masih ada.

Kepentingan hibah harta pusaka dalam islam

Sering kali kita dipaparkan dalam drama melayu yang  memaparkan konflik keluarga melibatkan wasiat. Konflik terjadi akibat tidak merancang dan memikirkan apa yang berlaku pada masa akan datang termasuk membabitkan kematian sehingga mencetuskan konflik keluarga.

Paling teruk, berlakunya perpecahan dan perbalahan dalam keluarga. Ada kes isteri ditinggalkan sehelai sepinggang kerana harta suami jatuh kepada keluarga mertua apabila pembahagian harta secara faraid digunakan.

Kebanyakan konflik harta pusaka ini berpunca daripada perebutan dan kelemahan mengenal pasti siapa pewaris berpotensi untuk melakukan tuntutan.

Penulisan wasiat harta pusaka dapat mengurangkan konflik

Amat penting masyarakat sekarang menguasai aspek pengurusan harta pusaka kerana ia sangat kompleks untuk difahami secara teori dan praktikal. Walau bagaimanapun, ilmu pewarisan harta pusaka dalam Islam wajib difahami supaya setiap yang masih hidup tidak termakan harta yang batil.

Perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah merancang pembahagian aset kepada siapa yang ingin diberikan dan berapa banyak yang akan diagihkan.

Masyarakat perlu tahu membezakan pelbagai instrumen membabitkan harta pusaka, antaranya memahami bahawa hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa had.

Wasiat perlu digunakan untuk pembahagian harta pusaka kepada waris dan bukan waris serta terhad kepada satu pertiga daripada harta pusaka. Manakala faraid pula merupakan pembahagian harta pusaka khusus untuk waris sahaja.

Hibah sememangnya sangat penting lebih-lebih yang melibatkan mereka yang mempunyai pelbagai jenis harta pusaka seperti hartanah, rumah dan wang.



 

Pengurusan harta pusaka tanpa wasiat merupakan satu proses yang sangat panjang dan memakan masa. Proses yang panjang ini boleh menjangkau sehingga 3 hingga 5 tahun dan sudah tentu ia menyebabkan kos yang tinggi.

Masih ramai orang Islam yang menganggap hibah adalah perkara yang tidak begitu penting. Masih ramai lagi orang Islam yang tidak membuat persiapan menulis hibah kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja. Sedangkan membuat wasiat adalah perkara yang amat digalakkan dalam Islam.

Orang ramai perlu ada kesedaran akan kepentingan pengurusan harta pusaka. Pemilik harta pula perlu memastikan harta yang ditinggalkan kelak tidak akan menyusahkan dan membebankan waris untuk menguruskannya.

Perbezaan wasiat dan faraid:

1 - Pembahagian faraid ditetapkan oleh Allah dalam al-Quran manakala pembahagian wasiat tidak melebihi sepertiga daripada jumlah harta.

 2 - Hukum faraid berlaku selepas kematian si waris manakala wasiat dilakukan ketika hidup dan berkuat kuasa selepas pewasiat meninggal.

3 - Hukum faraid yang menentukan kaedah agihan harta pusaka si mati kepada ahli waris yang berhak menerimanya, manakala wasiat boleh diagihkan kepada orang lain sekalipun bukan waris.

Berdasarkan penerangan di atas, perlu difahami bahawa pelaksanaan wasiat adalah berbeza dengan faraid. Terdapat ruang yang disediakan untuk kita menginfakkan sebahagian harta kepada individu-individu yang tidak termasuk dalam senarai pembahagian faraid dengan syarat tidak melebihi sepertiga daripada harta pusaka.

Justeru itu, dengan adanya instrumen wasiat, kita mampu membantu golongan yang tidak berkemampuan sekalipun kepada golongan yang bukan waris seperti anak angkat, fakir miskin atau jiran tetangga.

Lantaran sifat wasiat yang fleksibel, ia juga membuka ruang kebajikan kepada golongan yang berkemampuan untuk membantu individu-individu yang dalam kesusahan bagi memperoleh ganjaran pahala di akhirat kelak.

 

Kesan melengahkan penyediaan wasiat & mati tanpa berwasiat.

Kesan yang mungkin timbul adalah seperti berikut:

1. Waris bertelingkah tentang siapa yang patut mentadbir harta.

2. Tiada siapa yang mahu mendahulukan wang pembayaran bagi pentadbiran harta pusaka.

3. Kos guaman yang tinggi.

4. Pertikaian tentang pembahagian harta dalam kalangan waris-waris.

5. Penyelewangan harta oleh pentadbir yang melibatkan harta anak bawh umur atau harta anak yatim.

6. Hak harta sepencarian bagi suami atau isteri si mati tidak kesampaian.

7. Harta yang diletakkan di bawah nama pemegang amanah disembunyikan.

8. Senarai harta tidak lengkap.

9. Senarai waris tidak lengkap.

10. Cukai pendapatan si mati diabaikan dan tidak dibayar

11. Harta terbeku

12. Hubungan silaturahim dalam kalangan waris renggang.

13. Berlaku kes saman-menyaman dalam kalangan waris.

14. Berlaku kes pilih kasih dalam kalangan waris.

15. Berlaku kes konflik kepentingan (conflict of interest) bagi pentadbir.

16. Harta pusaka dijual di bawah harga pasaran.

17. Waris-waris tidak memberi kerjasama.

18. Senarai penghutang dan pemiutang tidak lengkap.

19. Nazar atau pesanan pewasiat secara lisan dipertikaikan.

20. Kedudukan pewaris dan kuasa pentadbir dipertikaikan.

21. Pembahagian harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP dan Tabung Haji dipertikaikan.

22. Waris berpecah belah antara satu sama lain.

23. Waris yang tidak tahu di mana dokumen penting seperti geran tanah disimpan.

24. Zakat harta tidak ditunaikan.

25. Harta dilelong oleh bank atau pihak berkuasa,.

26. Kes pusaka melarat sehingga dua atau tiga generasi (pusaka berlapis).

 

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/11851/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Definisi-wasiat-dalam-perspektif-Islam

Dan

Rubiahkadir.com

Dan

Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Va ria&pg=va_03.htm#ixzz3XRQgiY15

Dan

http://notawarisanpusaka.blogspot.com/