Rabu, 29 Mac 2023

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN

 


KEWAJIPAN BERPUASA

Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )

"Wahai orang-orang beriman!! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa".

Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.

 KEUTAMAAN RAMADHAN

Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan pusa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

 ANTARA FADHILAT DAN KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN.

  1. Pintu langit dibuka
  2. Pintu-pintu syurga di buka

 FADHILAT YANG LAIN

  1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga
  2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT
  3. Orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak
  4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt
  5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga
  6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

 AMAL IBADAH DI BULAN RAMADHAN

Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:

  1. Solat sunat Tarawih
  2. Solat-solat sunat yang lain
  3. Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
  4. Memberikan hidangan berbuka puasa
  5. Banyakkan membaca tahlil
  6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
  7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
  8. Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.

Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa. Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.

Rujukan Ringkas

Ceramah Ringkat Puasa

Selasa, 14 Mac 2023

USAH SUBURKAN BUDAYA FITNAH YANG AKAN MENGUNDANG PERPECAHAN SESAMA UMAT ISLAM

 


Fitnah merupakan amalan keji lagi dibenci oleh semua manusia. Islam agama yang memandang berat terhadap budaya menabur fitnah dalam kalangan umatnya sehingga perbuatan fitnah dikira satu jenayah dalam undang-undang Islam serta diperuntukkan hukuman syariah ke atas pelaku fitnah ini. Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai satu bentuk ancaman daripada Allah SWT dan rasul-Nya tentang besarnya dosa menabur fitnah. Jika pembawa fitnah itu orang Islam, maka ketahuilah bahawa azab yang berat sedang menantinya sebaik sahaja jasad dan rohnya berpisah. Sementara akhirat pula dia akan dihumban dalam api neraka jika dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW mengecam keras kepada pengadu domba seperti hadis daripada Huzaifah RA bahawa baginda bersabda yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba” (HR Muslim).

Sementara itu Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hukum fitnah adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana perbuatan ini boleh menyebabkan musibah yang besar dalam masyarakat. Dengan kepesatan teknologi masa kini, begitu banyak fitnah-fitnah yang ditaburkan bagi memburukkan seseorang, apatah lagi sesebuah agama. Cuba kita lihat begitu banyak fitnah-fitnah terhadap agama Islam yang dimuatnaik oleh puak-puak pelampau dalam menggambarkan sesuatu yang tidak baik mengenai Islam. Apa yang menyedihkan, ada sebahagian umat Islam itu sendiri yang percaya tentang tohmahan-tohmahan tersebut. Bukankah Allah SWT telah menyatakan di dalam al – Quran supaya menyelidiki kebenaran sesuatu perkara yang disampaikan terlebih dahulu sebelum mempercayainya? Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (QS al – Hujurat: 6).

Jauhilah amalan dan budaya menabur fitnah, mengadu domba dan apa jua usaha yang boleh mewujudkan perpecahan masyarakat. Perbezaan pendapat dan ideologi antara kita bukanlah lesen untuk menghalalkan perbuatan memfitnah, bahkan Islam meletakkan syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwa tersebut wajib mendatangkan sumber yang jelas, saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu. Rasulullah SAW sudah mengingatkan kita dengan laknat Allah SWT melalui sabdanya yang bermaksud:

“Fitnah itu sedang tidur. Allah melaknat orang yang mengejutkannya”. (HR al – Rafi’e).

Ceramah ringkas

Rujukan Ringkas