Rabu, 18 Mei 2016

Panduan Syarat, Cara Dan Adab Puasa Ramadhan

Panduan Syarat, Cara Dan Adab Puasa Ramadhan
  
Berpuasa merupakan satu dari 5 rukun Islam. Terdapat beberapa panduan, syarat, cara dan adab dalam berpuasa.


Pengertian Puasa

Ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Berpuasa wajib  kepada setiap orang islam:

Berdasarkan kepada Al-Quran , Hadis, Ijmak ulamak dan Qias. Sebagaimana Firman Allah Taala yang berbunyi :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya  : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. [Surah Al-Baqarah, Ayat : 183]


 
Syarat-syarat wajib puasa adalah :

1. Berakal: Orang yang gila tidak wajib puasa.

2. Baligh (umur 15 tahun ke atas) atau tanda yang lain. Kanak-kanak kecil tidak wajib puasa.

Sabda Rasulullah s.a.w:

رفع القلم عن ثلاثة : عن النائم حتى يستيقظ وعن الصبي حتى يحتلم ، وعن المجنون حتى يعقل

Maksudnya : Tiga golongan terlepas dari hukum: (a) Orang yang tidur sehingga dia bangun (b) Orang gila sehingga dia sembuh (c) Kanak-kanak sehingga dia mencapai umur baligh.



(Hadis Riwayat Imam Abu Daud)


3. Mampu berpuasa. Orang yang tidak mampu samada kerana tua atau sakit tidak diwajibkan ke atas mereka berpuasa.


Firman Allah s.w.t:


وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksud: Sesiapa yang sakit atau sedang dalam perjalanan, maka hendaklah dia berpuasa di hari lain. Allah menghendaki keringanan bagi kamu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran ke atas kamu. [Surah Al-Baqarah, Ayat: 185]

Firman Allah s.w.t:


وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksud: Dan ke atas orang yang mampu tetapi amat payah menunaikannya (kerana tua, lemah atau sebagainya) hendaklah dia membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin.



Syarat Sah Puasa


1. Islam. Orang yang bukan Islam tidak sah puasa.

2. Mumayyiz (iaitu dapat membezakan yang baik dengan yang tidak baik).

3. Suci dari haid (darah kotoran) dan nifas (darah setelah melahirkan anak). Orang yang kedatangan haid atau nifas tidak sah berpuasa tetapi keduanya wajib mengganti (membayar) puasa yang tertinggal itu secukupnya. (Qada': Ialah membayar kewajipan yang ditinggalkan sesudah waktunya, seperti orang yang meninggalkan puasa kerana haid, wajib ke atasnya menebus puasa yang ditinggalkan itu di dalam bulan lain. Kalau ketinggalan 3 hari, wajib ke atasnya qada' 3 hari juga).


Diriwayatkan dari Aisyah r.a, katanya: Kami disuruh oleh Rasulullah s.a.w mengqada' puasa dan tidak disuruhnya untuk mengqada' sembahyang. (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

4. Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.



Rukun Puasa

1) Niat di dalam hati , niat ini diwajibkan pada tiap-tiap malam,  kerana ibadat puasa pada tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan adalah perbuatan yang terpisah di antara hari dengan hari yang lain .
 

2) Menahan diri daripada makan dan minum atau memasukkan sesuatu pada rongga tubuh badan dengan niat serta di dalam keadaan sedar bahawa ianya sedang berpuasa walaupun sedikit bermula daripada keluar fajar sehingga tenggelam matahari .


3) Menahan diri daripada melakukan persetubuhan atau mengeluarkan mani dengan tangan ( Onani ) dan sebagainya.


4) Menahan diri daripada memuntahkan makanan dengan segaja , kalau sekiranya seseorang itu muntah dengan tidak sengaja tidak batal puasanya.


Sabda Rasulullah s.a.w:


من ذرعه القئ غلبه وهو صائم فليس عليه قضاء ومن استقاء فليقض

Maksudnya : Sesiapa yang terpaksa muntah, tidaklah wajib mengqada' puasanya dan sesiapa yang sengaja muntah, maka hendaklah dia mengqada' puasanya.
(Diriwayat oleh Ashabus Sunan)


Perkara Yang Membatalkan Puasa

1) Memasukkan sesuatu kedalam rongga badan dengan sengaja , samaada daripada jenis makanan atau bukan makanan.

Termasuk perkara ini ialah :

i) Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (Nusyuk) melalui hidung.

ii) Suntikan makanan atau menambah vitamin.
2) Memasukkan sesuatu daripada dua jalan (Qubul & Dubur).
3) Memuntahkan makanan dengan sengaja.
4) Jimak (Bersetubuh)

Qada’ Puasa Ramadhan

Ialah menggantikan puasa yang terbatal pada bulan Ramadhan diatas sebab-sebab yang diharuskan berbuka oleh syara’

Hukum Qada’ Puasa Ramadhan

Wajib menggantikan puasa Ramadhan bagi yang membatalkan puasa Ramadhannya samaada kerana keuzuran ataupun tanpa sebarang keuzuran

Firman Allah Ta’ala :


Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Lafaz niat puasa Qhada’ Ramadhan :

Ertinya :  Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala.

Doa Ketika Berbuka Puasa


Ertinya : Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.

Waktu Qada’ Puasa Ramadhan

Waktunya selepas bulan Ramadhan sehingga ke bulan Ramadhan yang berikutnya walaubagaimanapun qada’ puasa yang dilakukan dalam masa dilarang berpuasa adalah tidak sah contohnya seperti di hari raya.

Adapun bagi orang yang mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi maka ia wajib qada’ dan membayar fidyah.

Kifarah Puasa

Ialah seseorang yang merosakkan puasanya dalam bulan Ramadhan dengan jalan melakukan jima’ maka ia wajib membayar kifarah (denda) iaitu si suami wajib mengeluarkan kifarah & qada’ puasa yang terbatal kerana jima’ walaubagaimanapun si isteri tidak wajib mengeluarkan kifarah tetapi wajib qada’ puasa yang terbatal.

Kifarah bagi puasa yang batal atau rosak ialah :

Membebaskan seorang hamba yang beriman
Jika tiada hamba untuk dibebaskan, wajib ke atasnya  berpuasa 2 bulan berturut-turut
Jika tidak mampu berpuasa, wajib dia memberikan makan 60 orang fakir miskin setiap seorang mendapat secupak makanan asasi negeri itu.


Fidyah
Ialah bayaran denda dengan memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) dengan sebab-sebab tertentu atau mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi. Satu cupak bersamaan dengan 620 gram.


Hukum Fidyah

Wajib di keluarkan berdasarkan Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Sebab-sebab wajib Fidyah

Tidak mampu melakukan ibadah puasa Sakit yang tidak mampu untuk sembuh Perempuan hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan mudharat kepada anak yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu Mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi.
niat Puasa Ramadhan dalam rumi
Dikongsikan juga niat puasa Ramadhan untuk panduan semua


§     Niat Puasa Bulan Ramadhan dan Niat Puasa sebulan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan