hari ini aku pinjam satu nukilan untuk tatapan semua yang tiada
lagi ibu dan ayah....macam aku,
Yang masih mempunyai ibu dan ayah,
jaga mereka dengan sepenuh hati,
Ingat kita semua akan menuju ke arah itu...
Nukilan ini khas kepada sesiapa yang sedang
merindui orang yang telah pergi selamanya. Semua orang akan merasai kehilangan.
Saat Allah menguji dengan kehilangan orang yang
kita sayang. Sakitnya lebih mendalam dari sepasang kekasih memutuskan
percintaan walaupun dah bertahun bersama.
Kehilangan yang selalu di sisi, di hati serta
di jiwa. Barang yang dicipta oleh manusia itupun ada tarikh luput inikan
seorang manusia.
Bila mana tarikh terakhir sebagai musafir di
dunia maka, Allah boleh mengambil apa yang dipinjamkanNya semula pada bila-bila
masa.
Kehilangan ibarat dentuman halilintar yang
memecah gunung ganang. Ia perit. Peritnya bagai dihiris-hiris hanya yang
mengalaminya amat merasai.
Namun, ingatan itu mampu membuat kita selalu
berdoa dari jauh kerana dia selalu ada dalam jalur masa hidup kita. Kita selalu
memiliki sebuah perasaan bernama rindu. Rindu itu fitrah pada setiap manusia.
Tentu saja manusia yang ada perasaan akan
memahami bahawa rindu adalah sangat indah untuk dimiliki.
Perasaan rindu tentunya adalah perasaan yang
harus dikelola sebagaimana mengelola perasaan bahagia. Rindu secara umumnya
merupakan bentuk emosi atau perasaan yang muncul dari manusia.
Kerinduan akan muncul jika kita memiliki satu
ikatan emosional atau pengalaman yang benar-benar membekas pada suatu hal
tersebut, kita akan merasa kehilangan.
Kerinduan yang banyak akan muncul jika kita
memiliki pengaruh yang tinggi terhadap sesuatu itu.
Jika tidak, kerinduan tersebut dirasakan begitu
sahaja. Rindu yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata malah sukar
dilafazkan dengan perbuatan.
Andainya takdir seorang untuk melepaskan
seseorang yang disayangi kembali kepada Sang Pencipta. Perindu yang terbaik
adalah disaatkan melepaskan mereka kembali kepada Sang kekasih yang Abadi.
Bila gugurnya nama di pohon Syurga Allah, maka
gerak geri bakal jenazah akan sentiasa diperhatikan. Tipulah kalau orang paling
kita sayang, hilang dari hidup.
Hilanglah tempat bergantung selama ini.
Melayari bahtera kehidupan tanpa nakhoda. Permata yang kita selalu sanjungi
telah hilang sekelip mata.
Suatu hari, di saat aku terjatuh dan tersungkur
mengenangkan nasib. Aku teringat akan penguat semangat aku yang telah lama
hilang.
Jika dulu, aku selalu meluahkan segala perasaan
yang terpahat di hati pada ibu ayah tetapi sekarang mereka hilang dengan dengan
sekelip mata.
Aku pasrah. Aku hilang arah tuju. Tiada lagi
tempat nak diluahkan. Ia terus membekas di dalam hati. Kadang kala aku hanyut
dengan dunia aku sendiri.
“Ayah dan ibu benar hatiku rindu padamu,
Rindu ingin berjumpa mencium keningmu,
Aku ingin datang memeluk tubuh yang hebat itu,
Mengharap sentuhan lembut dari kedua tangan
kalian.”
Oh Ibu, Oh Ayah,
Damailah engkau di sana bersama Kekasih Allah.
Jangan bimbang tentang anakmu yang masih terkapai-kapai mencari erti kehidupan
seorang diri tanpa ada belaian dan secebis kasih sayang dari insan yang bernama
ibu dan ayah.
Anakmu berjanji akan meneruskan hidup tanpamu.
Akan sentiasa mengingati bait-bait nasihatmu.
“Aku rindu…Sungguh aku rindu,
Entah bagaimana untuk menghibur lara yang
enggan menghilang,
Ayah dan ibu semoga engkau di sana bahagia.
Maafkanlah atas kesalahan anakmu ini,
Maafkanlah yang belum boleh membalas jasa
darimu.”
Jika dulunya, anakmu menjadi teruja untuk
pulang ke kampung bertemu kalian berdua. Di sebalik sawah padi yang terbentang
luas, terlihat dua kuntum senyuman yang tidak pernah lekang terhias di bibir.
Juadah kegemaran terbentang luas menutup segala kerinduan.
Suatu malam, di saat hujan turun dengan
lebatnya, Ibu dan ayah berpesan buat kali terakhir. Tidak ku jangka itu
merupakan kata-kata terakhir yang bakal diingati sampai akhir hayat anakmu.
Pada kedinginan Subuh hari, satu deringan
telefon yang tertera nama orang yang sangat aku kenali.
Saat aku mengangkat deringan telefon itu,
lantas air mata mengalir umpama hujan yang turun semalam. Aku kaku. Aku masih
tidak percaya.
Rupanya, Allah telah menggerakkan hati ibu dan
ayahku untuk meninggalkan beberapa pesan untuk aku buat bekalan pada masa
depan.
Hati aku luluh dan berderai. Walaupun semua ini
telah lama berlaku, aku sudah belajar meredhai kepergian insan yang paling aku
sayang.
Oh Ibu, Oh Ayah,
Doakan anakmu agar kuat untuk melayari
pengembaraan walaupun hempedu yang patut anakmu telan. Rindu yang sukar
dilafazkan. Hilangnya susuk tubuhmu dari penglihatan anakmu. Secebis doa dari
kalian telah hilang buat anakmu. Anakmu rindu akan segala gelak tawamu.
“Ayah dan ibu anakmu di sini berjuang sendiri,
Tiada yang membantu anakmu berdiri,
Menghadapi dunia yang kejam akan cacian,
Terselok langkahku oleh duri rumput yang tajam.
Ampunkan anakmu ibu, Ampunkan anakmu Ayah,
Salah silap ketika kita bersama dahulu. Anakmu
akan sentiasa berdoa agar kita berjumpa di Syurga nanti. InshaAllah.
“Doa-doaku mengiringi kebahagianmu di sana
wahai ayah ibu,
Butiran tasbih mengelilingi nikmat pertolongan,
Lantunan ayat menerangi alam kubur yang gelap,
Tiada putus sujudku untuk menghantarkan sepucuk
doa rindu.”
Melakukan amal soleh dengan menjauhi
diri dari melakukan kemaksiatan.
Menjaga silaturahim dengan keluarga dan
sahabat baik kedua ibu ayah.
Anak-anak perlulah sentiasa menziarahi pusara
mereka
bagi yang sudah meninggal dunia.Bagi ibu bapa
yang
masih hidup, anak-anak perlulah pulang kampung
untuk
menziarah dan bertanya khabar.
Selesaikan hutang-hutang ibu ayah
yang sudah meninggal dunia.
Sayangilah ibu ayah kita semasa mereka masih
hidup atau sewaktu mereka sudah meninggal dunia sekalipun.
Sesungguhnya sangat besar jasa mereka kepada
kita sepanjang kehidupan mereka, dari waktu melahirkan sehinggalah mereka sudah
tiada. Allah jua yang membalasnya nanti.
Al-Fatihah.
Artikel ini ditulis oleh Nor Aisyah Binti Samsudin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan